Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sekarang ni banyak sangat topik hangat yang diperkatakan di sana sini. Aku pun tak terkejar semua berita. Tapi apa yang menarik perhatian aku, aku bacalah. Antara isu yang umum yang aku agak panas, mestilah mengenai bahasa. Kenapa? Sebab aku suka bahasa. Dan yang paling disayangi mestilah Bahasa Melayu. Melayu ya, bukan bahasa Malaysia.
Setiap orang ada pandangan masing-masing dan apa yang aku cakap dekat sini hanyalah pandangan aku dari ketinggian 1.63m.
Bagi aku, kenapa aku panggil dia Bahasa Melayu, mestilah sebab itu bahasa yang digunakan oleh orang Melayu. Aku tak kata yang bukan Melayu tak boleh guna tapi mereka ada bahasa mereka sendiri. Kan? Perlembagaan sendiri kata bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu, tanpa merendahkan bahasa lain.
Jadinya, bila bahasa itu dah jadi bahasa kebangsaan, sebagai seorang warganegara mestilah kena tahu cakap dalam bahasa tu kan. Warganegara. Rakyat Malaysia. Kalau setakat salah tatabahasa tu tak apa lah, jangan sampai tak reti langsung. Sampai tahap orang luar lebih fasih berbahasa Melayu daripada seorang warganegara, tak tahu nak sedih ke nak segan. Kalau bukan kita yang bangga akan bahasa kita, siapa lagi?
Mak aku dari dulu ingatkan dan sangatlah marah kalau markah bahasa Melayu teruk. Yelah, itukan bahasa kita. Bila tengah bercakap pun, mak juga selalu betulkan tatabahasa. Contohnya, perbezaan penggunaan 'dari' dan 'daripada'. Memanglah bila bercakap tu, tak kisah sangat mengenai tatabahasa tapi tak salahkan kalau kita tahu?
Tetapi di sini tidaklah aku melarang nak belajar bahasa lain. Malah lagi digalakkan. Kebanyakan kita pun sememangnya bahasa Inggeris itu adalah bahasa kedua kita. Baguslah kan. Lebih banyak pengetahuan. Lagipun bahasa Inggeris boleh dikatakan digunakan di serata dunia. Tapi saja lah nak ingatkan bahawa bahasa Melayu pernah jadi lingua franca pada suatu masa dahulu. Hebat kan?
Kalaulah orang Melayu digalakkan untuk belajar bahasa lain untuk menambah kemahiran yang ada dalam diri untuk mencari pekerjaan, kenapa ada orang tak belajar bahasa kebangsaan sedangkan orang itu adalah seorang warganegara? Lainlah kalau setakat duduk sementara, kemudian pulang ke negara sendiri atau memang taknak duduk Malaysia dah kan.
Seperti bahasa Inggeris, kita memang dah mula belajar sejak darjah satu. Mungkin sejak di tadika lagi. Baguslah kan. Kita dah terdedah dengan bahasa lain selain bahasa kita sendiri. Dan aku secara peribadi, sangat suka belajar bahasa Inggeris ((tapi lambatlah. Masuk sekolah menengah baru betul betul rasa seronok belajar bahasa Inggeris.)) Setiap orang ada cara belajar dia sendiri. Aku tak pasti aku pernah kongsi ke tak cara aku tapi aku malas nak tulis dekat sini. Kalau ada, bolehlah cari dekat blog ni. Kalau tak ada, minta kemudian hari.
Aku pun ada juga niat nak belajar bahasa lain. Masa awal awal layan anime dan drama Jepun dulu, adalah juga teringin nak belajar betul betul Nihongo. Siap ada buku tulis huruf dalam Katakana dan Hiragana. Malangnya, usaha tak berpanjangan. Itu salah sendirilah. Banyak sangat bagi alasan. Makanya sekarang hanya beberapa perkataan dalam bahasa Jepun sahaja yang aku ingat. Nama sendiri pun dalam Katakana je yang ingat.
Dan disebabkan K-wave yang terlalu hebat, aku pun terkena tempiasnya. Bermula dengan drama Korea yang aku layan sejak 2013, aku pun mula terjebak dalam bahasa Korea. Dari hanya tahu beberapa perkataan yang cliche, aku sekarang bolehlah faham juga bila dengar lagu atau tengok rancangan Korea tanpa sarikata. Tapi taklah sampai faham seratus peratus.
Aku rasa salah satu kesalahan aku dalam belajar bahasa lain adalah tak ambil kelas secara formal. Masa belajar bahasa Jepun dulu, aku hanya rujuk Internet. Itupun, bila rajin. Kemudian bila dah terjebak tengok drama Korea, terus aku tinggal bahasa Jepun. Yang tu pun aku sekadar berdasarkan pemahaman sendiri. Tapi disebabkan kerap sangat tengok drama, rancangan hiburan dan dengar lagu dalam bahasa Korea, secara teknikalnya bahasa Korea aku lebih bagus daripada bahasa Jepun.
Hendak seribu daya, taknak seribu dalih.
Aku adalah juga menyesal sikit sebab tak pernah nak belajar Mandarin. Tapi tak ada semangat sungguh haha. Itupun awal awal dah bagi alasan. Belum pernah belajar tapi dah kata susah. Payahlah macam tu. Tapi bagi sesiapa yang mula nak belajar bahasa lain tu, semoga berjaya buat anda. Tapi jangan sesekali lupakan bahasa kebangsaan.
Disebabkan hari ni aku bercakap mengenai bahasa, sajalah aku tulis dalam bahasa Melayu secara keseluruhannya. Perkataan yang dalam bahasa Inggeris tu, aku italic kan. Barulah macam novel kan. ((Bila niat nak buat novel tak pernah tercapai, acah jelah.))
Jadinya, banggalah dengan bahasa kita; Bahasa Melayu. Jangan pernah lupa asal usul. Tapi rajin rajin lah luaskan pengetahuan.
Sekian pandangan aku yang sedikit jerebu.
0 comment:
Post a Comment